Pages

Tuesday, August 31, 2021

BIOGRAPHY OF YANG BERBAHAGIA DATUK TAN CHONG MENG: PERUTUSAN YB DATUK FRANCIS HARDEN ANAK HOLLIS


1.      Saya amat berbangga dan sangat menghargai inisiatif Simanggang Soon Heng Society yang bekerjasama dengan penulis, Encik Lee Chin Guan untuk menerbitkan buku “Biografi Datuk Tan Chong Meng”.  Datuk Tan Chong Meng sememangnya merupakan seorang tokoh tempatan yang  patut disanjungi dan dijadikan teladan oleh generasi muda atas sumbangan, pengorbanan, keperibadian, kegigihan dan pengangan prinsip yang ditunjukkan sejak lebih 60 tahun yang lalu.

 

2.      Beliau telah mengasaskan SUPP Cawangan Simanggang yang saya pimpin sekarang bersama dengan mendiang bapa saya, Hollis Anak Tini.  Bapa saya menjadi Pengerusi Cawangan, sementara beliau menjadi Setiausaha mulai tahun 1960.  Mereka berdua merupakan komrad yang sangat rapat, bukan sahaja dari segi pegangan politik , tetapi juga hubungan peribadi.  Semasa kanak-kanak, saya sering melihat bapa saya ke sana ke sini bersama dengan Datuk Tan menguruskan hal ehwal parti dan membantu masyarakat setempat dalam pelbagai aspek.

 

3.      Sehingga hari ini, hubungan antara dua keluarga ini masih rapat.  Walaupun pada usianya yang hampir 90 tahun, beliau masih prihatin terhadap perkembangan semasa, khususnya kedudukan SUPP dan kedudukan saya sebagai wakil rakyat Kawasan Simanggang.  Dalam masa-masa tertentu, beliau suka menelefon saya dan menyatakan pandangan beliau terhadap isu mutakhir.

 

4.      Pada awal tahun 1960-an, beliau telah ditahan atas kelantangan beliau memperjuangkan kepentingan rakyat, sementara bapa saya telah dikenakan perintah kawalan pergerakan di rumah di Munggu Sabun.  Walaupun demikian, kedua-dua mereka tetap teguh dengan prinsip dan kepercayaan mereka terhadap perjuangan.  Sebenarnya semasa beliau ditahan, bapa saya bersama dengan beliau berada di Ibu Pejabat SUPP, Kuching.  Pada masa itu, beliau telah membantu bapa saya dan seorang komrad dari Limbang melarikan diri melalui bahagian belakang Ibu Pejabat SUPP, sementara beliau turun ke tingkat bawah untuk menghadapi kedatangan anggota keselamatan.  Selepas dibebaskan pada awal tahun 1970-an, beliau kembali ke Simanggang dan bersama-sama membantu SUPP memenangi buat kali pertamanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada tahun 1974 dengan bapa saya sebagai calonnya.

 

5.      Semasa saya mulai menyertai SUPP secara aktif pada tahun 1988, beliau dan barisan kepimpinan SUPP Cawangan Simanggang sentiasa memberi tunjuk ajar, di samping ruang dan peluang untuk saya mengembangkan keupayaan dan menonjolkan diri dalam politik, sehinggakan saya diangkat oleh parti menjadi calon pilihanraya DUN Sarawak  pada tahun 1996.  Sebagai pewaris kepada perjuangan yang sama-sama didokong oleh mendiang bapa saya dan beliau di Simanggang, sesungguhnya pengorbanan dan pegangan generasi mereka amat memberi inspirasi kepada saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat, nusa dan bangsa.

 

6.      Akhirnya, penerbitan ini amat menepati masa dan keperluannya, saya berharap para pembaca akan meniti riwayat hidup Datuk Tan dan mencontohi kesungguhan serta stamina beliau dalam perjuangannya.  Saya juga berterima kasih kepada pihak penerbit, Simanggang Soon Heng Society yang telah memberi peluang kepada saya untuk mencungkil sepatah dua kata dalam buku ini yang amat bermakna dan memberangsangkan ini.

 

YB DATUK FRANCIS HARDEN ANAK HOLLIS

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak

Selaku  Ahli Dewan Undangan Nergeri Sarawak

N.32 Simanggang

 

26.01.2021


No comments:

Post a Comment