Pages

Saturday, October 3, 2020

MAJLIS DIALOG TOKONG CINA BAHAGIAN SRI AMAN DAN BAHAGIAN BETONG ANJURAN SIMANGGANG CHINESE CHARITABLE TRUST BOARD (TOKONG CIYUN) SRI AMAN

TEKS UCAPAN

 YB DATUK FRANCIS HARDEN ANAK HOLLIS

MENTERI MUDA KESEJAHTERAAN KOMUNITI SARAWAK

 

PROGRAM

MAJLIS DIALOG TOKONG CINA

BAHAGIAN SRI AMAN DAN BAHAGIAN BETONG

ANJURAN SIMANGGANG CHINESE CHARITABLE TRUST BOARD (TOKONG CIYUN) SRI AMAN

  

BERTEMPAT DI

PREMIS PERTUBUHAN MENINGGIKAN

AKHLAK CHE CHUAN KHOR SRI AMAN

 

PADA

03 OKTOBER 2020 (SABTU) (JAM:11.30 PAGI)



<SALUTASI>

Terima Kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis 
(Encik/Puan/Cik………………………………………………………………………….)

SELAMAT PAGI, SALAM IBU PERTIWIKU, SALAM SARAWAKKU SAYANG,

1. Yang Berbahagia, Encik Richard Lon, Pengarah Unit For Other Religion (UNIFOR) Negeri Sarawak;

2. Yang Berusaha, Temenggong Kueh Aik Seng, Penyelaras Program Dialog, Tokong Cina Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong;

3. Yang Dihormati Pemanca Kueh Tu Teck dari kawasan Beting Maro; 

4. Yang Dihormati Pemanca Lim Guan An dari kawasan Saratok

5. Yang Dihormati Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum;

6. Yang Dihormati Kaunselor-Kaunselor;

7. Yang Dihormati Rakan Media dan Para Peserta Dialog.


Selamat Pagi dan Salam Sejahtera,

1. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Simanggang Chinese Charitable Trust Board (Tokong Ciyun) Sri Aman di atas kejayaan menganjurkan Majlis Dialog Tokong Cina Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong. Penghargaan khas kepada saudara Richard Lon Pengarah UNIFOR kerana telah sudi meluangkan masa sebagai speaker dalam dialog yang berkaitan dengan keagamaan masyarakat majmuk yang diadakan di Bandar Simanggang. Saya sangat teruja dengan apa yang saya ketahui yang dialog ini membabitkan 29 buah tokong yang berada di sekitar Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong sama ada yang berdaftar atau tidak berdaftar. Saya sedar kehadiran anda semua merupakan sokongan kepada terbentuknya masyarakat yang harmoni dan makmur dalam menjalankan kehidupan harian walaupun berlainan pegangan agama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

2. Di negeri Sarawak, kita sangat bertuah kerana pemimpin negeri sangat memahami keperluan rakyatnya dan mengamalkan toleransi yang tinggi terhadap semua kaum dalam memilih agama masing-masing. Negeri kita merupakan contoh kepada beberapa buah negeri di Malaysia dalam keharmonian kaum walaupun kita berbilang bangsa dan agama. “Kita boleh duduk bersama di kedai kopi, minum bersama, berbual bersama tanpa ada rasa terpisah dari kelainan latar belakang”. Suasana ini memungkinkan         kita menjadi sebuah negeri yang aman damai sepanjang masa. Keadaan yang         kita kecapi ini bukanlah datang secara semulajadi kerana ianya didukung oleh         kerajaan semasa, mempertahankan hak Sarawak dalam kebebasan beragama         dan kesungguhan ini terbukti dengan penubuhan UNIFOR bagi membantu             perkembangan agama bagi kaum yang terdapat di Sarawak.

3. Di dalam kita mengejar pembangunan fizikal, penekanan kemajuan kerohanian yang sihat perlu diseimbangkan agar pembangunan fizikal dan pembangunan rohani seiring dan impaknya akan menjadikan rencana yang dirancang senantiasa diberkati dan memberi faedah secara keseluruhannya. Perkembangan sihat keagamaan dipercayai boleh melahirkan modal insan yang berkualiti dari aspek moral dan keteguhan iman serta melahirkan masyarakat yang tahu bersyukur dengan apa yang dikecapi. Kita berpegang kepada setiap agama mengajar kebaikkan kepada umatnya dan menggalakkan hidup secara harmonis dengan saling hormat-menghormati.

Para Hadirin Yang Dihormati,

4. Pada pagi ini juga saya difahamkan dialog berkisar tentang halatuju setiap tokong di Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong tentang isu yang dihadapi dan kaedah penyelesaian dari pihak kerajaan dan mendengar pandangan tentang keperluan menubuhkan Gabungan Tokong Cina peringkat negeri Sarawak agar membolehkan setiap tokong yang masuk dalam gabungan mendapat bantuan daripada UNIFOR. Pada dialog ini juga mengambil pandangan tentang keperluan menubuhkan sekretariat Tokong Cina di peringkat Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong.

5. Pengurusan rumah ibadat yang teratur membolehkan kerajaan dapat memantau kegiatan dengan sistematik dan mempunyai rekod. Ini merupakan keperluan kepada intervensi kerajaan dalam memastikan bantuan sampai ke setiap rumah ibadat yang memerlukan bantuan. Sehingga setakat ini, hanya negeri Sarawak sahaja yang telah menubuhkan entiti khas untuk membantu agama lain iaitu Unit For Other Religion (UNIFOR)

Saudara dan Saudari Sekalian,

6. Bercakap mengenai sumbangan rumah ibadat terhadap masyarakat, seperti sedia maklum di Bandar Simanggang kita selalu mengadakan majlis yang menumpukan kebajikan terhadap masyarakat yang memerlukan seperti dalam program Sejambak Kasih dimana kita selalu menyerahkan bantuan makanan bagi meringankan beban masyarakat yang memerlukan dan terdapat juga bimbingan dan kauseling terhadap banduan dalam penjara di Penjara Pusat Jalan Brayun seperti yang dijalankan oleh Sri Aman Buddhist Association setiap petang Rabu.

7. Rumah ibadat juga berupaya sebagai platform untuk setiap agensi kerajaan bekerjasama mengatur program yang memberi kebaikkan kepada masyarakat. Tidak ketinggalan juga mewujudkan kemeriahan dari penganjuran majlis keagamaan yang ditonton oleh orang ramai. Impak dari majlis seperti ini membolehkan masyarakat mengetahui budaya dan adat resam sesuatu kaum yang terdapat di negeri Sarawak dan seterusnya menjadikan kita memupuk semangat kekitaaan dengan konsep sense of belonging dan masing-masing menjaga keharmonian dan perpaduan kaum.

Para Hadirin Sekalian,

8. Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana telah berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai daerah menghadiri dialog yang sangat bermakna pada hari ini. Selamat datang ke Bandar Simanggang bagi mereka yang datang dari bahagian dan daerah lain, semoga anda semua dapat menikmati keunikan Bandar Simanggang yang terkenal dengan fenomena Benak dan kepelbagaian hasil hutan di Pasar Tamu. Berkunjunglah disamping kita dituntut mengamalkan SOP COVID-19. Semoga kita diberkati dan dijauhi dari segala penyakit dan sudah pasti dalam situasi sekarang kita perlu bekerjasama memerangi pandemik COVID-19 dan kita mesti menang. 

Sekian, terima kasih. 




No comments:

Post a Comment