1. Saya amat berbangga dan sangat menghargai inisiatif
Simanggang Soon Heng Society yang bekerjasama dengan penulis, Encik Lee Chin
Guan untuk menerbitkan buku “Biografi Datuk Tan Chong Meng”. Datuk Tan Chong Meng sememangnya merupakan
seorang tokoh tempatan yang patut
disanjungi dan dijadikan teladan oleh generasi muda atas sumbangan,
pengorbanan, keperibadian, kegigihan dan pengangan prinsip yang ditunjukkan
sejak lebih 60 tahun yang lalu.
2. Beliau telah mengasaskan SUPP Cawangan
Simanggang yang saya pimpin sekarang bersama dengan mendiang bapa saya, Hollis Anak
Tini. Bapa saya menjadi Pengerusi Cawangan,
sementara beliau menjadi Setiausaha mulai tahun 1960. Mereka berdua merupakan komrad yang sangat
rapat, bukan sahaja dari segi pegangan politik , tetapi juga hubungan
peribadi. Semasa kanak-kanak, saya
sering melihat bapa saya ke sana ke sini bersama dengan Datuk Tan menguruskan
hal ehwal parti dan membantu masyarakat setempat dalam pelbagai aspek.
3. Sehingga hari ini, hubungan antara dua
keluarga ini masih rapat. Walaupun pada
usianya yang hampir 90 tahun, beliau masih prihatin terhadap perkembangan
semasa, khususnya kedudukan SUPP dan kedudukan saya sebagai wakil rakyat Kawasan
Simanggang. Dalam masa-masa tertentu,
beliau suka menelefon saya dan menyatakan pandangan beliau terhadap isu
mutakhir.
4. Pada awal tahun 1960-an, beliau telah
ditahan atas kelantangan beliau memperjuangkan kepentingan rakyat, sementara
bapa saya telah dikenakan perintah kawalan pergerakan di rumah di Munggu
Sabun. Walaupun demikian, kedua-dua
mereka tetap teguh dengan prinsip dan kepercayaan mereka terhadap
perjuangan. Sebenarnya semasa beliau
ditahan, bapa saya bersama dengan beliau berada di Ibu Pejabat SUPP,
Kuching. Pada masa itu, beliau telah
membantu bapa saya dan seorang komrad dari Limbang melarikan diri melalui bahagian
belakang Ibu Pejabat SUPP, sementara beliau turun ke tingkat bawah untuk
menghadapi kedatangan anggota keselamatan.
Selepas dibebaskan pada awal tahun 1970-an, beliau kembali ke Simanggang
dan bersama-sama membantu SUPP memenangi buat kali pertamanya kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada tahun 1974 dengan bapa saya sebagai
calonnya.
5. Semasa saya mulai menyertai SUPP secara
aktif pada tahun 1988, beliau dan barisan kepimpinan SUPP Cawangan Simanggang
sentiasa memberi tunjuk ajar, di samping ruang dan peluang untuk saya
mengembangkan keupayaan dan menonjolkan diri dalam politik, sehinggakan saya
diangkat oleh parti menjadi calon pilihanraya DUN Sarawak pada tahun 1996. Sebagai pewaris kepada perjuangan yang
sama-sama didokong oleh mendiang bapa saya dan beliau di Simanggang,
sesungguhnya pengorbanan dan pegangan generasi mereka amat memberi inspirasi
kepada saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat, nusa dan bangsa.
6. Akhirnya, penerbitan ini amat menepati
masa dan keperluannya, saya berharap para pembaca akan meniti riwayat hidup
Datuk Tan dan mencontohi kesungguhan serta stamina beliau dalam
perjuangannya. Saya juga berterima kasih
kepada pihak penerbit, Simanggang Soon Heng Society yang telah memberi peluang
kepada saya untuk mencungkil sepatah dua kata dalam buku ini yang amat bermakna
dan memberangsangkan ini.
YB DATUK FRANCIS HARDEN ANAK HOLLIS
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak
Selaku Ahli Dewan
Undangan Nergeri Sarawak
N.32 Simanggang
26.01.2021